Friday, 26 September 2014

MISI PAGI - Servis Diri


Setiap hari kita melakukan tugasan harian sebagai insan berpangkat hamba kepada Khaliqnya dan sebagai manusia berjawatan khalifah di bumi ciptaan-Nya. Pada kesempatan ini kami ingin menyentuh perihal persediaan menempuh 24 jam perjalanan hidup.

Misi bermula sebaik sahaja mata terbuka.

Bermula awal pagi, kita bangkit dengan kewajipan beribadat. Bangun mencelikkan mata dan terus membersihkan diri untuk menghadap Sang Pencipta. Rutin yang signifikan namun masih ada yang meninggalkannya kerana masih sayang akan sisa mimpi dan baki tidur yang tak puas. Jika diri membiarkan kelesuan berkuasa, pasti diri akan terikut dengan kepenatan. Letih dan lesu bukan alasan untuk meninggalkan solat subuh. Jika sudah biasa memaksa diri melawan rasa mengantuk, maka meninggalkan solat subuh akibat terbabas dalam mimpi yang sementara itu, pasti akan lahir penyesalan yang berat dalam diri.

Penyesalan dalam diri.

Ramai yang sedih, tawar hati, dan kesal kerana meninggalkan kewajipan yang selalu dikejarkan dan ada juga yang tidak rasa bersalah meninggalkan yang wajib kerana sudah kebiasaan tidak menghadap Tuhan. Siapa dan di mana kita berdiri? Insan atau syaitan. Penyesalan atau tak berperasaan.

Ragam manusia.

Diri manusia ini pelbagai ragam. Ada yang begitu payah untuk bangun subuh. Ada yang apabila dipanggil namanya terus celik- terbeliak mata. Ada pula yang walau disimbah sebaldi air tetap lena dalam kehangatan selimut. Tak kurang sampai bergegar bumi sekalipun tetap terbuai dalam ayunan mimpi yang leka. Adakah sebelum tidur manusia-manusia ini memasang niat yang jitu sebelum melabuhkan kepala di atas bantal yang empuk? Atau terlena tanpa meletak harapan daripada Tuhan untuk kehidupan di keesokannya dek penat mengembara di laman sosial?

Niat sebelum tidur.

Tidur merupakan nikmat yang perlu disyukuri. Setelah seharian menatap kesibukan dunia, Allah menyediakan malam untuk kita berehat. Namun masih ramai yang mengeluh kerana mempunyai masalah mengantuk, badan lesu dan sebagainya. Adakah ini sebagai alasan untuk bangun lewat? Kebanyakan masalah tidur adalah disebabkan kurang kemahiran tidur yang baik. Betapa pentingnya doa dan niat sebagai amalan sebelum tidur. Junjungan Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita amalan-amalan sebelum tidur dan tatacara tidur agar waktu rehat kita dalam keberkatan dan penjagaan Allah. Pasang niat yang baik untuk bangun awal. Semasa kami di sekolah rendah, guru pernah mengajar jika hendak bangun awal, pasang niat untuk bangun pukul 5 pagi, sebagai contoh, dan tepuk bantal sebanyak tiga kali. Insya-Allah mujarab.


Semoga kita mampu memujuk diri menyempurnakan kewajipan sebagai hamba Tuhan dan menjayakan misi pagi yang mencabar ini. Sentiasa memohon ke'istiqamah'an daripada Allah dan berdampinglah dengan orang-orang soleh. Juga adalah lebih baik jika ditambah dengan amalan beristighfar, berzikir dan berselawat sebagai santapan rohani.

- Rahmat

Monday, 15 September 2014

Jangan Tersekat



Mata terbeliak di saat terjaga,
Terjaga daripada mimpi yang lena,
Hanya sedikit merasa lega,
Sesudah letih membawa dosa.

Maka tubuh bingkas, terus bangun mencari tenaga,
Menghadap Pencipta di kala gelita,
Merintih dan bersedih sedang hati minta jauh daripada duka,
Ini doa insan biasa.

Sedar dan terus sedar,
Bahawa diri adalah pendosa tegar,
Tapi aku yakin aku takkan berlapar,
Berlapar daripada nikmat Tuhan Yang Maha Besar,
Kerana Dia punya sifat Ar-Rahman yang takkan pudar.

Maka aku jua seorang pen'taubat',
Membawa diri bersama dosa dan pahala yang kubuat,
Walaupun aku tak tahu amalan mana yang hebat dan cacat,
Kerja aku? Berdoa dan berusaha mendapatkan Rahmat,
Walaupun kekadang aku merasa penat,
Dengan setiap ujian yang tertambat.

Terus melangkah kaki yang berat,
Berlari dengan cepat,
Jangankan tesekat,
Tersangkut pada ujian yang dasyat,
Kerana dunia ini singkat,
Tak tahu bila akan wafat,
Membawa diri ke hari akhirat.

- Duda Jati